Archive for October, 2007

Kelemahan Dalil membaca Qur’an di Kubur - jawapan kpd Sdr Mohd Shauki (Utusan)

Tuesday, October 23rd, 2007

KELEMAHAN DALIL MEMBACA QUR’AN DI KUBURAN.

Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus 
 

Jumhur
(majoriti) para ulamak bersetuju bahawa ziarah kubur merupakan satu
amalan yang sunnah kerana ianya telah dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w.
melalui sebuah hadis sahih:
 
 

“…maka berziarah kuburlah kamu, kerana hal itu mengingatkan kepada kematian.” - Hadis riwayat Imam Muslim 

Begitu
juga telah jelas bagi para ulamak bahawa disunnahkan untuk memberi
salam serta mendoakan kesejahteraan kepada jenazah ketika menziarah
kubur. Aisyah r.a berkata:
 
 

“Bahawasanya
Nabi s.a.w. pernah keluar ke Baqi’ (tempat pemakaman kaum Muslimin),
lalu baginda mendoakan mereka.” Kemudian ‘Aisyah bertanya tentang hal
itu, baginda menjawab: “Sesungguhnya aku diperintah untuk mendoakan
mereka.”
–  Hadis riwayat Imam Ahmad
 
 

Di antara doa-doa yang telah diajar oleh Rasulullah s.a.w adalah: 
 

“Salam
sejahtera hai penghuni kubur mukminin dan muslimin dan insya Allah kami
akan menyusulmu. Aku mohon keselamatan kepada Allah bagi kami dan
kalian.”
- Hadis riwayat Imam Muslim
 
 

“Salam
sejahtera hai penghuni kubur mukminin dan muslimin, semoga Allah
memberi rahmat kepada orang-orang terdahulu dan orang-orang terkemudian
dari kami dan insya Allah kami akan menyusul.”
– Hadis riwayat Imam Muslim
 
 

Namun begitu
para ulamak telah berselisih pendapat tentang hukum membaca al-Qur’an
di kuburan untuk mensedekahkan pahalanya kepada penghuni kubur
tersebut. Yang lebih menepati pandangan Imam al-Syafi’i r.h adalah
kiriman pahala tersebut tidak sampai dan beliau berhujah dengan firman
Allah S.W.T. :
 
 

(Dalam
Kitab-kitab itu ditegaskan): Bahawa sesungguhnya seseorang yang boleh
memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa
usahanya sahaja); Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi
seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya.
- Al-Najm : 38-39
 
 

Telah berkata al-Hafidz Ibnu Kathir r.h di dalam kitab Tafsir al-Qur’an al-Adzim ketika mentafsirkan ayat di atas: 
 

“Iaitu
sebagaimana seseorang tidak akan memikul dosa orang lain demikian juga
seseorang tidak akan memperolehi ganjaran (pahala) kecuali apa-apa yang
telah dia usahakan untuk dirinya sendiri. Dan dari ayat yang mulia ini
Imam al-Syafi’i bersama para ulamak yang mengikutinya telah
mengeluarkan hukum bahawa bacaan al-Qur’an tidak akan sampai hadiah
pahalanya kepada orang yang telah mati. Kerana bacaan tersebut bukan
dari amal dan usaha mereka. Oleh kerana itu Rasulullah s.a.w. tidak
pernah mengsyari’atkan umatnya (untuk menghadiahkan bacaan
al-Qur’an kepada yang telah mati) dan tidak juga pernah menggemarinya
atau memberikan petunjuk kepada mereka baik dengan nash (dalil yang
jelas lagi terang) dan tidak juga dengan isyarat dan tidak pernah
dinukilkan dari seorangpun sahabat (bahawa mereka pernah mengirim
pahala bacaan al-Qur’an kepada orang yang telah mati). Jika sekiranya
amalan itu baik tentu para sahabat telah mendahului kita
mengamalkannya. Dan di dalam masalah ibadah ianya hanya terbatas pada
dalil dan tidak boleh dipalingkan dengan qiyas-qiyas atau
pendapat-pendapat.”
 
 

Imam al-Nawawi r.h pula di dalam Syarah Muslim (jilid 1, ms. 90) telah berkata: 
 

Adapun bacaan
al-Qur’an (yang pahalanya dikirimkan kepada simati) maka yang masyhur
di dalam mazhab Syafi’i tidak dapat sampai kepada si mati yang dikirim…
Sedang dalilnya bagi Imam al-Syafi’i dan pengikut-pengikutnya ialah
firman Allah:
 
 

“bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya.” 
 

Dan Sabda Nabi s.a.w.: 
 

“Apabila
manusia telah meninggal dunia, maka terputuslah amal usahanya kecuali
tiga hal iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh
(lelaki atau perempuan) yang berdoa untuknya.”
– Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi.
 
 

Imam Muzani r.h di Hamish al-Umm telah berkata: 
 

“Rasulullah
s.a.w. memberitahukan sebagaimana yang diberitakan Allah, bahawa dosa
seseorang akan menimpa dirinya sendiri seperti halnya amalnya adalah
untuk dirinya sendiri bukan untuk orang lain dan tidak dapat dikirimkan
kepada orang lain.” – Rujuk tepi al-Umm, al-Syafi’i, jilid 7, ms. 269
 
 

Al-Haitami r.h pula berkata: 
 

“Si mati tidak boleh dibacakan apa pun berdasarkan keterangan yang mutlak daripada ulamak mutaqaddimin
(terdahulu) bahawa bacaan (yang pahalanya ingin dikirimkan) adalah
tidak sampai kepadanya, sebab pahala bacaan itu adalah untuk pembacanya
sahaja. Sedang pahala hasil amalan tidak dapat dipindahkan dari yang
mengamalkan perbuatan itu berdasarkan firman Allah: “Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya.– rujuk al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyah, jilid 2, ms. 9
 
 

Imam al-Khazin r.h  di dalam tafsirnya mengatakan sebagai berikut: 
 

“Dan yang masyhur dalam mazhab Syafi’i bahawa pahala bacaan al-Qur’an adalah tidak dapat sampai kepada si mati yang dikirim.” – rujuk al-Jamal, jilid 4, ms. 236  
 

Tambahan pula
membaca al-Qur’an di kawasan perkuburan menyalahi sunnah Rasulullah
s.a.w., karena baginda menyuruh kita membaca al-Qur’an di rumah:
Sabdanya:
 
 

“Janganlah
kalian jadikan rumah kalian seperti kuburan, karena sesungguhnya
syaitan akan lari dari rumah yang dibaca di dalamnya surat al-Baqarah.”
- Hadis riwayat Imam Muslim

 
 
Hadis
ini menunjukkan bahawa bahawa kawasan perkuburan bukanlah tempat untuk
membaca al-Qur’an sebagaimana di rumah. Menerusi hadis ini juga kita
dapat fahami bahawa dilarang menjadikan rumah seperti kuburan yang
tidak dibaca al-Qur’an. Jumhur ulamak salaf seperti Imam Abu Hanifah,
Imam Malik, Imam al-Syafi’i, Imam Ahmad dan imam-imam yang lain
melarang membaca al-Qur’an di perkuburan.

 
 
Sebagai contoh Imam Abu Dawud r.h berkata dalam kitab Masaa’il Imam Ahmad (ms. 158):
 
 

“Aku mendengar Imam Ahmad ketika beliau ditanya tentang baca al-Qur’an di pemakaman? Beliau menjawab: “Tidak Boleh” 
 

Menurut Ibnu
Taimiyyah r.h : “Daripada al-Syafi’i sendiri tidak terdapat perkataan
tentang masalah ini, yang demikian ini menunjukkan bahwa (baca
al-Qur-an di perkuburan) menurut beliau adalah bidaah. Imam Malik
berkata: Tidak aku dapati seorang pun daripada para sahabat dan tabi’in yang melakukan hal itu. – rujuk Iqtidhaa’ Shirathal Mustaqim, ms. 380
 
 

Bagi para
ulamak yang mendokong pendapat bahawa diharuskan membaca al-Qur’an di
perkuburan mereka telah berhujah dengan beberapa hadis. Namun demikian
hadis-hadis tersebut telah dikritik hebat oleh ulamak-ulamak hadis dan
mereka telah melemahkannya bahkan ada juga di antaranya yang bertaraf mawdhu’ (palsu). Sebagai contoh mari kita melihat beberapa dalil-dalil yang sering digunakan.
 
 

HADIS PERTAMA:

“Barangsiapa
yang menziarahi kuburan kedua orang tuanya setiap hari Jumaat, lalu
membaca (surat Yasin) di sisi keduanya (di sisinya), nescaya diampuni
baginya sebanyak bilangan setiap ayat atau huruf (yang dibacanya).

 
 
Hadis ini diriwayatkan oleh Ibn ‘Ady, Abu Nu’aim di dalam Akhbaar Ashfahaan, Abdul Ghani al-Maqdisi di dalam as-Sunan dari jalur Abu Mas’ud, Yazid bin Khalid (dia berkata), telah menceritakan kepada kami ‘Amr bin Ziyad
(yang berkata), telah menceritakan kepada kami Yahya bin Sulaim
ath-Tha’ifi, daripada Hisyam bin ‘Urwah, daripada ayahnya (‘Urwah),
daripada ‘Aisyah, daripada Abu Bakar ash-Shiddiq secara marfu’.
 
 

Kelemahan
hadis ini terletak kepada periwayatnya yang bernama ‘Amr bin Ziyad. Dia
dituduh suka mencuri hadis daripada para periwayat yang tsiqat
(terpercaya) dan memalsukan hadis. Di antara ulamak yang menyatakan
demikian adalah Ibn ‘Ady dan al-Daraquthni. Oleh itu hadis ini
darjatnya palsu (mawdhu’) – diringkaskan dari Silsilah al-Ahaadiits adh-Dha’iifah Wal Mawdhuu’ah karya Syaikh al-Albani, Jilid.1, no.50.
 
 

HADIS KEDUA:

Barangsiapa
yang melalui kuburan, kemudian membaca surah al-Ikhlas sebelas kali,
lalu di hadiahkan pahalanya kepada mayat, maka akan diberi balasan
pahala sesuai jumlah jenazah yang ada di perkuburan tersebut.
 
 

Hadis ini
diriwayatkan oleh al-Khallal dan al-Dailami. Namun demikian perawi yang
terdapat dalam sanad hadis ini telah dikritik oleh al-Dzahabi, al-Hafiz
Ibnu Hajar, Ibnu Iraq dan menurut Syaikh al-Albani hadis ini batil
bahkan mawdhu’ (palsu). – Diringkaskan dari Ahkaamul Janaa’iz wa Bida’uha oleh Syaikh al-Albani.
 
 

HADIS KETIGA:

Barangsiapa
yang berziarah di kuburan kemudian dia membaca al-Fatihah, Qul
Huwallahu Ahad dan Alhakumut takasur lalu dia berdoa. "Ya Allah, ku
hadiahkan pahala pembacaan Firman-Mu pada kaum Mukminin penghuni kubur
ini, maka mereka akan menjadi penolong baginya (pemberi syafaat) pada
hari kiamat
 
 

Hadis ini diriwayatkan oleh Abu al-Qasim Sa’id bin Ali al-Zanjani dalam kitab Fawa’idnya.
al-Mubarakfuri telah mengemukakannya ketika membanding hujah-hujah
pendapat yang berkata boleh membaca al-Qur’an di kubur dan
menghadiahkan pahala kepada ahli kubur. Setelah mengemukakan hadis ini
dan dua yang lain (satu darinya ialah Hadis Kedua di atas), beliau
menukil pendapat al-Hafiz Syamsuddin bin Abdul Wahid al-Maqdisi yang
menerangkan bahawa hadis-hadis dalam bab ini semuanya lemah, akan
tetapi boleh dihimpunkan untuk dijadikan dalil bahawa amalan sedemikian
memiliki dasar dalam agama.
 
 

Namun pendapat
al-Hafiz Syamsuddin ini dikritik oleh al-Mubarakfuri. Beliau
menegaskan, tidak semua hadis yang lemah apabila dihimpun dapat
dijadikan dalil bahawa amalan tersebut memiliki dasar dalam agama.
Untuk mengatakan sesuatu amalan itu memiliki dasar, seseorang itu
hendaklah mengemukakan dalil dengan sanad yang sahih. – diringkaskan dari Tuhfah al-Ahwazi bi Syarh Jami’ al-Tirmizi oleh al-Mubarakfuri, jilid. 3, ms. 275

 

Apa pun jua
hadis ini sebenarnya tidak terdapat dalam mana-mana kitab hadis utama
dan al-Mubarakfuri juga menukilnya tanpa sanad. Ini menunjukkan betapa
terpencilnya hadis ini disisi para ulamak hadis.
 
 

HADIS KEEMPAT

Bacakanlah surah Yasin untuk orang-orang yang akan mati (mautaakum) di antara kamu.  
 

Hadis ini diriwayat Imam Abu Dawud, Ibnu Majah dan juga Imam Ahmad dari jalur Sulaiman al-Taimi, daripada Abu ‘Utsman, daripada Ayahnya, daripada Ma’qil bin Yasar. Lafaz ini adalah daripada kitab Sunan Abu Dawud. Status hadis ini sebenarnya masih diperbincangkan oleh para ulamak hadis. Namun apa yang lebih tepat status hadis ini adalah dha’if (lemah). Menurut al-Dzahabi, Ibnul Madini, Ibnul Mundzir, Ibnul Qaththan dan al-Nawawi, Abu ‘Utsman adalah seorang yang majhul (tidak dikenali). Manakalanya ayahnya juga dianggap majhul oleh Ibnul Mundzir, Ibnul Qaththan dan al-Nawawi. 
 

Sekiranya hadis ini sahih sekalipun, mautaakum bukan bermaksud orang yang sudah mati tetapi orang yang hampir mati. Perhatikanlah sabda Rasulullah s.a.w. ini: 
 

Ajarkanlah oleh kamu orang-orang yang akan / hampir mati (mautaakum) di antara kamu La ilaaha illallahu. - Hadis riwayat Imam Muslim  
 

Apa yang diperintah oleh Nabi s.a.w. di atas adalah untuk mengajar orang yang sedang menghadapi maut bacaan La ilaaha illallah. 
 

Masih terdapat
beberapa lagi hadis-hadis yang digunakan oleh golongan yang membenarkan
pembacaan al-Qur’an di kuburan. Hanya sahaja hadis-hadis tersebut tidak
sunyi dari kritikan oleh para ulamak hadis. Telah sepakat oleh para
ulamak bahawa hadis-hadis dha’if (lemah) dan mawdhu’
(palsu) tidak boleh dijadikan hujah untuk perkara-perkara berkaitan
akidah dan penetapan hukum-hakam (seperti mewajibkan mahupun menetapkan
hukum sunat terhadap sesuatu amal). Hanya sahaja para ulamak berbeza
pendapat tentang kebolehan mempergunakan hadis dha’if (lemah) dengan syarat-syarat yang ketat untuk bab fadilat amal atau targhib dan tarhib. Apa pun jua perbincangan tentang hukum membaca al-Qur’an di kuburan tidak termasuk dalam bab fadilat amal mahupun targhib dan tarhib maka hadis dha’if tidak boleh dijadikan hujah.
 
 

Dari sini
dapat kita rumuskan bahawa amalan yang lebih menepati sunnah Rasulullah
s.a.w. ketika menziarah kuburan hanyalah memberi salam dan mendoakan
kesejahteraan mayat di perkuburan tersebut. Inilah amalan yang
benar-benar sah daripada Rasulullah s.a.w. Oleh itu ziarahlah kubur
kerana ianya boleh mengingatkan kita kepada kematian tetapi
hindarkanlah diri dari melakukan amalan-amalan bidaah di perkuburan dan
janganlah mengkhususkan hari perayaan yang tertentu untuk menziarah
kubur sebagaimana yang diamalkan oleh penganut agama-agama lain.
 
 

Harus juga
kita fahami bahawa al-Qur’an ini diturunkan bertujuan untuk memberi
peringatan bagi mereka yang hidup. Firman Allah S.W.T.:
 
 

“(Al-Quran
ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai
Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk
mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk
orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.”
 – Shaad : 29
 
 

Di dalam surah Yasin yang sering dibacakan di kuburan juga terdapat firman-Nya: 
 

“Supaya ia (al-Qur’an) memberi peringatan kepada orang-orang yang hidup…” - Yasin : 70 
 

Telah berkata Abdul Hakim bin Amir Abdat: 
 

“Allah S.W.T.
menyatakan dengan tegas bahwa al-Qur’an ini menjadi peringatan untuk
orang-orang yang hidup, dan ayat ini terdapat di dalam surah Yasin.
Sedangkan saudara-saudara kita membacakan surah Yasin ini di hadapan
orang-orang yang mati. Subhanallah! Kejahilan apakah ini namanya?” - al-Masaa-il : Masalah-Masalah Agama, jilid 1, ms. 302
 
 

Penulis juga
ingin mengingatkan kepada semua pihak supaya menghindarkan diri dari
menyebarkan hadis-hadis palsu kerana ianya termasuk dalam perbuatan
berdusta di atas nama Rasulullah s.a.w. Perbuatan yang keji ini telah
diberikan amaran yang keras oleh Rasulullah s.a.w. sendiri. Menurut
Imam al-Thahawi r.h di dalam kitabnya Musykilul Athar (jilid 1, ms.176):
 
 

“Barangsiapa yang menceritakan (hadis) daripada Rasulullah s.a.w. atas dasar zhan / persangkaan, bererti dia telah menceritakan (hadis) daripada baginda s.a.w. dengan tanpa haq (dengan tidak benar). Dan orang yang menceritakan (hadis) daripada baginda s.a.w. dengan tanpa haq,
bererti dia telah menceritakan (hadis) daripada baginda s.a.w. dengan
cara yang batil. Dan orang yang telah menceritakan (hadis) dari baginda
s.a.w. dengan cara yang batil, nescaya dia menjadi salah seorang
pendusta yang masuk ke dalam sabda Nabi s.a.w.:
 
 

“Barangsiapa yang sengaja berdusta atas namaku, maka hendaklah dia mengambil tempat tinggalnya di neraka.” - Hadis riwayat Imam al-Bukhari

Bezakan antara sunnah menziarahi kubur dengan bid’ah baca al-Quran di kubur

Tuesday, October 23rd, 2007

"Amat
mendukacitakan apabila ada beberapa individu yang memegang jawatan
agama dalam Negara ini masih mengambil ringan ketika meriwayatkan
sesuatu hadith. Sebagai contohnya tulisan oleh Saudara Mohd. Shauki
Abd. Majid, Pengurus Penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia
(Yadim). bertajuk “Amalan Ziarah Kubur Bukan Bidaah” yang disiarkan di
dalam akhbar ini pada Jumaat, 19/10 yang lalu.
"

 

Bezakan antara sunnah menziarahi kubur dengan bid’ah baca al-Quran di kubur

Oleh: Abdul Kadir

 Agama
Islam amat berbeza sekali dengan agama-agama lain ciptaan manusia,
Islam ada displinnya yang tersendiri. Apabila kita berbicara tentang
Islam, bermakna kita berbicara tentang kalam Allah dan kalam Rasulullah
saw. Ini kerana kalam Allah dan kalam Rasul ini adalah sumber utama
kepada agama Islam itu sendiri.

Mengambil
ringan menukilkan sesuatu dari kalam Allah adalah satu kesalahan yang
besar. Demikian juga mengambil ringan dalam menukilkan sesuatu dari
kalam al-Rasul (al-Hadith) adalah suatu kesalahan yang besar juga,
bimbang perbuatan mengambil ringan ini, menjerumuskan kita meriwayatkan
sesuatu hadith yang bukan dari Nabi saw, baginda bersabda:

“Sesiapa yang berbohong ke atas-ku secara sengaja, maka ambillah satu tempat di dalam neraka.” (HR Imam Muslim).

Al-Imam
al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini berkata: “Ketahuilah, hadith
ini mengandungi beberapa faedah dan kaedah: (salah satunya) Diharamkan
periwayatan hadith yang palsu bagi sesiapa yang mengetahui keadaan
sesuatu hadith itu palsu atau sangkaan banyaknya mengatakan hadith itu
palsu. sesiapa yang meriwayatkan satu hadith yang palsu dalam keadaan
dia tahu atau sangkaan beratnya menyatakan hadith itu palsu, sedangkan
dia tidak menjelaskan kepalsuannya ketika meriwayatkannya, maka dia
termasuk dalam ancaman ini (ancaman di dalam hadith di atas), termasuk
di dalam orang-orang yang berbohong atas Rasulullah saw… kerana itu
para ulama berkata: Semestinya bagi sesiapa yang hendak meriwayatkan
satu hadith atau menyebutnya hendaklah melihat (memastikan) ianya
adalah hadith yang sahih atau hasan.” (Syarh Sahih Muslim. Al-Maktabah
al-‘Asriah, Beirut. Jld 1, m.s. 64-66).

Amat
mendukacitakan apabila ada beberapa individu yang memegang jawatan
agama dalam Negara ini masih mengambil ringan ketika meriwayatkan
sesuatu hadith. Sebagai contohnya tulisan oleh Saudara Mohd. Shauki
Abd. Majid, Pengurus Penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia
(Yadim). bertajuk “Amalan Ziarah Kubur Bukan Bidaah” yang disiarkan di
dalam akhbar ini pada Jumaat, 19/10 yang lalu.

Di
dalam tulisan tersebut Mohd. Shauki cuba mempertahankan amalan membaca
al-Quran di tanah perkuburan dengan mendatangkan hadith yang lemah dan
palsu. hadith tersebut ialah:

“Barang
siapa berziarah ke kuburan kedua-dua orang tua atau salah satu di
antara mereka pada setiap hari Jumaat dan membacakannya surah Yasin,
maka dia akan diampuni dosanya dan dihitung sebagai kebaikan.”  Ini adalah hadith pertama yang dijadikan sandaran oleh Mohd. Shauki di dalam tulisan beliau, tanpa beliau nyatakan darjatnya. Sebenarnya hadith ini adalah satu hadith yang tidak sahih. al-Syaukani di dalam al-Fawaid al-Majmu’ah mengatakan hadith ini Palsu (m.s. 271. Dar al-Kutub al-‘Ilmiyah). Al-Haithami di dalam Majma’ al-Zawaid mengatakan hadith ini Lemah (jld 3, m.s. 87, Dar al-Fikr, Beirut). Al-Albani mengatakan hadith ini Palsu di dalam al-Silsilah al-Dhoiefa,( jld 1, m.s. 126, Maktabah al-Maarif al-Riyadh). Demikian juga Ibn al-Jauzi di dalam al-Maudhuaat dan al-Zahabi di dalam Mizan al-I’tidal, semua
ulama hadith yang saya sebutkan ini menyatakan hadith ini adalah hadith
yang tidak sahih, mereka mendatangkan dengan beberapa lafaz yang ada
sedikit perbezaannya, yang penting hadith itu adalah hadith yang tidak
sahih bahkan Palsu.Apabila ulama
hadith menyatakan hadith itu palsu, ia bermaksud hadith itu bukanlah
hadith yang diucapkan oleh Nabi saw. Sebaliknya ia adalah ucapan
individu lain, kemudian dinisbahkan kepada Nabi saw secara palsu dan
dusta. Hadith palsu ini, jika dibiarkan berterusan disampaikan kepada
orang ramai ianya akan merosakkan agama dan akan menyebabkan orang
ramai salah faham terhadap agama.Selain
hadith ini, saudara Mohd. Shauki juga berdalilkan dari sebuah hadith
lain yang agak pelik bunyinya, kononnya diriwayatkan dari Abu Hurairah
r.a. iaitulah: “Barang siapa yang
berziarah di kuburan, kemudian ia membaca al-Fatihah, Qul Huwa llahu
Ahad dan Alhakumut takasur, lalu ia berdoa “Ya Allah, kuhadiahkan
pahala pembacaan firman-Mu pada kaum Mukminin penghuni kubur ini, maka
mereka akan menjadi penolong baginya (pemberi syafaat) pada hari
kiamat.”Saya cuba mencari hadith ini
di dalam perician cd carian hadith-hadith Nabi saw, namun malang saya
tidak ketemuinya. Apabila saya cuba mencarinya dari Internet saya
dapati hadith ini ada di dalam lamanweb sufi majelisrasulullah.org,
situs artikel-artikel hot Indonesia dan sebuah laman percuma geocities
yang sama terjemahannya tanpa perbezaan dan ketiga-tiga lamanweb itu
tidak menyatakan sumber ambilan hadith tersebut.Persoalannya
apakah benar ada kelebihan membaca surah-surah tertentu di tanah
perkuburan ? Jika dilihat kepada hadith-hadith yang sahih dari Nabi
saw, kita akan dapati keadaan yang sebaliknya. Sebagai contoh hadith
yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam sahihnya, Nabi saw bersabda:

 

“Jangan
kamu semua menjadikan rumah-rumah kamu seperti tanah perkuburan, maka
sesungguhnya Syaitan lari bertempiaran daripada rumah yang dibaca di
dalamnya surah al-Baqarah.” (HR Muslim dan al-Tirmizi daripada hadith
Abu Hurairah)

Berdasarkan
hadith ini, ia menunjukkan tanah perkuburan bukanlah tempat membaca
al-Quran. ini kerana Nabi saw telah menyamakan rumah yang tidak dibaca
al-Quran di dalamnya dengan tanah perkuburan. Ini sekaligus memberi
isyarat tanah perkuburan itu bukan tempat untuk membaca al-Quran.
Hadith sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim ini jelas bertentangan
maksudnya dengan hadith yang tidak diketahui darjatnya dari Mohd.
Shauki di atas. Di samping itu, Abu Daud di dalam kitab Masailnya
(m.s. 158) berkata: ‘Aku mendengar (Imam) Ahmad telah ditanya tentang
bacaan al-Quran di sisi kubur, lalu dia menjawab: Tidak dibaca
(al-Quran) di sisi kubur.”

Al-Syeikh Muhammad Redha, yang menulis tafsir al-Manar
berkata: “Ketahuilah bahawasanya apa yang masyhur tersebar di kalangan
orang Badwi dan bukan badwi dari membaca al-Fatihah kepada mayat tidak
terdapat petunjuk dari satu hadith yang sahih mahupun yang dhoief,
ianya termasuk di dalam bid’ah yang bertentangan dengan nas-nas yang
qat’yyah, akan tetapi ianya berlaku disebabkan senyapnya orang-orang
yang memakai pakaian ulama dan persetujuan mereka terhadap perbuatan
tersebut, disamping ianya berterusan di lakukan oleh orang awam dalam
bentuk (seolah-olah) ianya termasuk perkara sunat yang digalakkan atau
termasuk dalam perkara fardhu yang dituntut.” (8/268)

Al-Syeikh
Hamid al-‘Attar pula di dalam lamanweb yang memuatkan fatwa-fatwa
terkini tokoh-tokoh ulama semasa dunia Arab, islam-online.net
(http://www.islamonline.net/livefatwa/arabic/Browse.asp?hGuestID=0m2vUm)
berkata: “Adapun bacaan al-Quran sekitar tanah perkuburan juga adalah
masaalah khilafiah, sebahagian mengatakannya bid’ah dan sebahagian yang
lain mengharuskannya. Dan pendapat yang mengatakannya bid’ah adalah
lebih rajih (kuat) dari sudut dalil disebabkan ketiadaan petunjuk yang
mengkhususkan tempat itu (tanah perkuburan untuk dibacakan al-Quran).
Dan tiadalah bacaan al-Quran di kubur itu satu faedah tertentu, tidak
ada juga kelebihan yang khusus, bahkan  sama seperti
orang yang membacanya di rumah, dan bacaan (al-Quran) yang dilakukan di
rumah itu adalah lebih afdhal sebagai keluar dari khilaf. Ketahuilah
bahawasa bukan diambil kira pada membaca surah tertentu seperti
al-Fatihah (kepada mayat), dan tindakan mengkhususkannya (suarh
al-Fatihah) kepada mayat adalah suatu tindakan membuat syariat yang
tidak diizinkan oleh Allah, yakni ia termasuk di dalam bid’ah, akan
tetapi yang diambil kira ialah nilai/niat orang yang membacanya dan
keikhlasan bacaannya, maka berdasarkan itu, anda boleh membaca
mana-mana surah yang anda suka tanpa berkeyakinan adanya keutamaan pada
satu surah tertentu.”

Semua
fatwa dari beberapa ulama yang saya nukilkan di atas menunjukkan
membacakan al-Quran di kubur dan mengkhususkan bacaan tertentu ketika
menziarahi kubur itu tidak ada dari petunjuk Nabi saw. Disamping hadith
dari Imam Muslim di atas sudah cukup untuk menguatkan pandnagan
ulama-ulama tersebut kerana  tanah perkuburan bukanlah tempat untuk dibacakan al-Quran di dalamnya.

Berkenaan
ziarah kubur pada hari raya, Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: “Ziarah
kubur pada hari raya adalah suatu yang bertentangan dengan sunnah,
adalah Nabi saw melarang ziarah kubur pada hari raya, kerana hari raya
adalah hari untuk bergembira bukan hari untuk bersedih dan
berduka-cita.” (sila lihat fatwa al-Zuhaili di dalam lamanweb rasminya
http://www.zuhayli.net/index.htm)

Fatwa
Dr. Wahbah al-Zuhaili ini bertepatan puls dengan hadith Nabi saw yang
melarang dari menjadikan kubur baginda sebagai tempat perayaan
sepertimana hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud dari Abu Hurairah
r.a.  

Menziarah
kubur bukanlah suatu yang terlarang di dalam agama, bahkan ia suatu
yang amat digalakkan. Demikian juga menyedekahkan pahala bacaan
al-Quran kepada mayat bukan suatu yang ditegah di dalam agama
berdasarkan pendapat kebanyakan para ulama, selama ia dilakukan dengan
ikhlas tanpa mengharapkan sebarang bayaran.. Yang ditegah ialah
menetapkan suatu bacaan surah yang khusus untuk ditujukan kepada mayat
dan menetapkan hari yang tertentu untuk menziarahinya, semuanya
dilakukan di tanah perkuburan.

Perbuatan
menetapkan surah yang khusus dan hari yang tertentu untuk mayat itu
perlu kepada tunjuk ajar dari Nabi saw. Demikian juga
perbuatan meletakkan ada kelebihan membaca al-Quran di tanah
perkuburan, semuanya memerlukan petunjuk dari Nabi saw.  Jika baginda
tidak memberitahukannya kepada kita bagaimana kita berani menentukannya
?

  

Wallahu a’lam.

Sumber:

http://al-qayyim.dtdns.net/v01/index.php?option=com_content&task=view&id=214&Itemid=2