Jalan pulang ke pangkuan Allah terlalu luas!
Oleh: DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN
ANTARA keistimewaan
Islam yang agung ini adalah jalan pulang ke pangkuan agama ini amat
luas terbuka dan tidak membebankan. Peluang seorang insan kembali ke
pangkuan keampunan dan keredaan Allah tidak pernah disekat oleh
sebarang jarak waktu, latar diri, keturunan, atau harta.
Sesiapa
yang ingin pulang ke pangkuan Allah tidak pernah dihalang oleh agama
ini disebabkan jenis dosanya atau keturunan, usianya yang lanjut, atau
apa sahaja.
Seseorang yang ingin
kembali kepada Allah diterima oleh kerahmatan-Nya dengan syarat insan
tersebut menyesali kesilapannya, benar-benar memohon keampunan dan
berazam tidak mengulangi kesalahan lalu. Jika kesalahan itu sesama
insan lain, dia memohon maaf dari yang dizalimi. Jika tidak mampu,
bimbang mudarat yang lebih besar jika permohonan maaf dibuat, serahkan
sahaja urusannya itu kepada Allah dan Allah Maha Mengetahui kadar
kemampuan hamba-hamba-Nya.
Firman Allah dalam
surah Ali ‘Imran 135-136: (maksudnya) Dan mereka yang apabila melakukan
perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat kepada Allah
lalu memohon ampun dosa-dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang
mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah - dan mereka juga tidak
meneruskan (perbuatan buruk) yang mereka telah lakukan itu, sedang
mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang- orang yang
demikian sifatnya, balasannya adalah keampunan dari Tuhan mereka, dan
syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal
di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi)
orang-orang yang beramal.
Islam bukan seperti
sesetengah ajaran yang menyuruh seseorang yang berdosa membuat
pengakuan di hadapan orang agama, atau melakukan upacara yang menyeksa
diri demi penghapusan dosa seperti melukakan diri atau berjalan atas
bara api atau membuat bayaran penebusan.
Demikian perbuatan sesetengah pihak mencari rezeki dengan mengambil upah untuk pelupusan dosa solat atau puasa
atau ibadah yang lain, bukan dari ajaran Islam. Islam tidak pernah
mengenal itu semua. Seperti Islam tidak pernah menerima sama sekalipun
perbuatan sesetengah agama lain yang mengeluarkan surat berbayar untuk
penghapusan dosa, demikian Islam tidak dapat menerima perbuatan
penganutnya jika melakukan hal yang sama dengan mengeluarkan borang
pahala yang dijual sempena Ramadan atau selainnya.
Keampunan dan rahmat
Allah bukan dijual di jalanan. Ia sangat berkaitan dengan keluhuran
jiwa yang ikhlas ingin kembali kepada Allah Yang Maha Pengampun. Jika
keampunan hanyalah bayaran yang dibayar kepada pihak tertentu, tentulah
semua orang kaya tempatnya di syurga.
Sementara si miskin
yang tidak mampu membayar kepada golongan agama tiadalah habuan
keampunan untuknya. Maka tidaklah perlu lagi seseorang berpegang dengan
agama, cukuplah dengan membanyakkan ongkos, maka selamatlah dia di sisi
Tuhan. Aduhai, tentu tidak demikian.
Firman Allah
(maksudnya) Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat
memberikan manfaat sesuatu apapun. Kecuali orang yang datang menghadap
Allah dengan hati yang sejahtera. Dan (pada hari itu) didekatkan syurga
bagi orang- orang yang bertakwa. Dan diperlihatkan neraka jelas nyata
kepada orang-orang yang sesat. (surah al-Syu’ara 88-91).
Seseorang yang
berdosa pula, tidak disuruh mendedahkan dosanya kepada orang lain
sekalipun di hadapan ulama atau siapapun di kalangan manusia. Bahkan
dia disuruh bertaubat antara dia dengan Allah dan menutup keburukan
dirinya daripada orang lain. Nabi s.a.w. bersabda: Sesiapa yang menutup
(keburukan) seorang Muslim, Allah tutup (keburukannya) di dunia dan
akhirat. (Riwayat Muslim).
Termasuk dalam
perkataan Muslim itu diri insan yang berdosa itu sendiri, dia juga
tentu seorang Muslim. Maka dia wajib menutup keaiban dirinya. Maka
dalam Islam tidak ada ‘pengakuan dosa di hadapan paderi’. Sesiapa
sahaja yang berasa berdosa dan ingin kembali kepada Allah, maka dia
bertaubat di mana sahaja dia berada.
Sabda Nabi:
Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selagi nyawa belum
sampai ke halkumnya. (Riwayat al- Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).
Aduhai luasnya rahmat Allah dalam agama ini. Bahkan dalam sebuah hadis
kudsi, Allah berfirman: Wahai anak-anak Adam, selagi mana engkau
memohon dan mengharapkan dari-Ku, Aku ampunkan engkau walau apapun
dosamu, Aku tidak peduli. Wahai anak-anak Adam, jika dosamu sampai ke
puncak langit, lalu engkau pohon keampunan dari-Ku, Aku ampunkan
engkau, aku tidak peduli. Wahai anak-anak Adam, engkau jika datang
kepada-Ku dengan dosa yang hampir memenuhi bumi, namun engkau
menemui-Ku tanpa mensyirikkan Daku dengan sesuatu, nescaya aku datang
kepadamu dengan penuh keampunan. (Riwayat al-Tirmizi, dinilai hasan
oleh al-Albani).
Bahkan kita dilarang
kecewa dengan hidup disebabkan dosa yang lalu. Sebaliknya, disuruh agar
sentiasa memohon keampunan daripada Allah dan jangan kecewa dari
rahmat-Nya. Firman Allah dengan penuh syahdu dalam surah al-Zumar ayat
53: (maksudnya), Katakanlah: Wahai hamba- hamba-Ku yang telah melampaui
batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat),
janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya
Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Al-Imam Ibn Kathir
(meninggal 774H) ketika mentafsirkan ayat ini menyebut: “Ayat yang
mulia ini adalah panggilan untuk semua pembuat dosa dari kalangan yang
kufur dan selain mereka agar bertaubat dan kembali kepada Allah. Ayat
ini juga adalah pemberitahuan Allah Yang Maha Berkat Lagi Maha Tinggi
bahawa Dia mengampunkan segala dosa untuk sesiapa yang bertaubat dan
meninggalkannya, walau bagaimana besar dan banyak sekalipun dosa
tersebut. Sekalipun bagaikan buih di lautan”. (Tafsir al-Quran
al-‘Azim, 4/74, Beirut: Mussasah al-Rayyan).
Maka tidak ada kecewa
bagi insan yang berdosa. Sekalipun kadangkala ada dosa yang tidak dapat
dimaafkan oleh perasaan insan lain, namun Allah tidak pernah menutup
pintunya selagi insan yang berdosa itu insaf, benar-benar kembali
kepada-Nya.
Saya bicarakan tajuk
ini, sesuai dengan suasana puasa. Juga agar perbincangan agama,
janganlah menyebabkan manusia ini kecewa dengan diri mereka dalam
mencari jalan pulang ke pangkuan Tuhan.
Agama ini begitu
lunak. Pintu untuk mendekati Tuhan tidak pernah hanya dikhususkan untuk
orang tertentu semata. Bahkan sesiapa sahaja yang menerima Islam ini
dan berusaha mendekatkan diri dengan jalan Rasulullah maka dia akan
sampai ke dalam rahmat Allah.
Tiada perbezaan
antara mufti, ustaz, imam dan orang biasa. Tuhan tidak pernah menilai
insan dengan gelaran-gelaran yang diberikan oleh sesama manusia. Dia
melihat keluhuran jiwa dan kesahihan amalan. Entah berapa ramai orang
biasa lebih mulia di sisi Tuhan dibandingkan mereka yang bersandar
dengan berbagai-bagai gelaran dan pangkat. Jalan pulang ke pangkuan
Tuhan tidak pernah mendiskriminasikan manusia.
Kadangkala amat
menakutkan kita mendengar ucapan sesetengah orang. Saya pernah
mendengar seseorang menyebut “dosa- dosa si polan tidak akan diampunkan
Allah.” Ringan perkataan itu di lidah kita, amat berat kesalahannya di
sisi Allah.
Sejak bilakah pula
kita menjadikan wakil Tuhan dalam memutuskan rahmat atau kelaknatan di
kalangan hamba-hamba-Nya. Kita menolak manusia ingin kembali dataran
keampunan Allah hanya kerana emosi kita, sedangkan Allah sendiri
mengisytiharkan keluasan rahmat-Nya untuk semua.
Marilah kita
berkempen untuk manusia mendapatkan rahmat keampunan Allah ini. Bukan
untuk orang masjid dan surau sahaja, tetapi juga semua muda-mudi di
jalanan, artis di pentas, pemimpin di gelanggang politik dan
seterusnya. Jangan menghukum seseorang itu sebagai tidak berpeluang
menerima rahmat Allah sedangkan roh masih di jasadnya dan hukuman Allah
belum pun kita tahu.
Nabi bersabda: Jika
seseorang berkata: Binasalah manusia, maka dialah yang paling binasa.
(Riwayat Muslim). Hadis ini bermaksud apabila seseorang berkata dengan
tujuan merendahkan orang lain dan membanggakan dirinya seakan orang
lain tidak mendapat kerahmatan, maka dialah akan dibinasakan Allah.
Dakwah agama hendaklah merentasi sempadan-sempadan yang dibikin oleh
kita. Rahmat Allah mestilah disebarkan ke semua daerah hidup yang
pelbagai. Sama ada yang berada di gelanggang sukan, di pentas filem, di
medan politik atau apa sahaja.
Janganlah
perbincangan agama hanya menggambarkan seakan semua manusia akan
memasuki neraka semata, lalu kita lupa Allah ialah Tuhan Yang Maha
Rahmat. Ungkapan-ungkapan agama ini adalah ungkapan memberikan harapan,
bukan menimbulkan kekecewaan.
Sehingga dalam hadis
Nabi bersabda: Seorang telah melakukan satu dosa, lalu dia berkata:
Wahai Tuhanku ampunilah dosaku. Lalu Allah azza wa jalla berfirman:
Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang
boleh mengampun dan menghukumnya – dalam riwayat yang lain ditambah:
Aku ampunkan dosanya. Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain,
dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku.
Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dan dia mengetahui bahawa
baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya-dalam riwayat yang
lain ditambah: Aku ampunkan dosanya. Lalu dia melakukan dosa sekali
lagi, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah
dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dan dia mengetahui
bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka aku
ampunkan hamba-Ku in, buatlah apa yang kau mahu Aku ampunkan engkau.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Hadis ini bukanlah
menggalakkan manusia melakukan dosa, tetapi menceritakan hal seorang
hamba yang bertaubat bersungguh-sungguh namun gagal mengawal dirinya
lalu tetap terjatuh ke dalam dosa. Setiap kali berdosa, dia ikhlas
memohon keampunan dan dia tetap diampun oleh Allah s.w.t.
Hadis ini memberikan
semangat kepada mereka yang telah bersalah berulang kali untuk terus
bertaubat bukan berputus asa dan terus mengikut jejak langkah syaitan.
Walaupun barangkali orang lain akan menyebut kepadanya “tidak guna kau
bertaubat, sudah berapa kali kau tetap gagal kekal atas taubatmu”,
namun Allah tidak berkata demikian. Dia Yang Maha Pengampun tetap
membuka pintu selagi hamba-Nya itu jujur dan ikhlas merintih kepada-Nya.
Jika Allah menutup
pintu, maka kekecewaan akan meliputi jiwa hamba yang seperti ini dan
akhirnya dia akan terus tenggelam dalam kejahatan. Namun dengan dibuka
seperti ini, insan akan terus berusaha kembali kepada Allah setiap kali
tergelincir.
Saya amat hairan, ada
agama tertentu yang dikatakan mempengaruhi emosi sesetengah anak-anak
muda kita disebabkan unsur kasih sayang dan rahmat berkenaan yang
ditonjolkan dalam agama. Seakan anak-anak muda kita tidak pernah
mendengar tentang keluasan rahmat dan keampunan Allah dalam Islam ini.
Lalu mereka pun kagum dengan agama lain dan melupai agama sendiri yang
diturunkan Allah ini.
Adakah kerana mereka
tidak mempelajari ajaran Islam yang betul? Ataupun kempen kita kepada
Islam kurang menonjolkan unsur-unsur kerahmatan agama ini?
Hendaklah kita sedar,
dalam dakwah baginda Nabi bukan hanya diceritakan balasan neraka, namun
diceritakan juga kenikmatan syurga. Bukan hanya tentang kemurkaan Allah
kepada yang menderhakai-Nya tetapi juga rahmat-Nya bagi yang kembali
kepada kepada-Nya.
Firman Allah dalam
surah al-Hijr 49-50: (maksudnya) Khabarkanlah kepada hamba-hamba-Ku
(Wahai Muhammad), bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha
Mengasihani (bagi mereka yang bertaubat dan beramal soleh). Dan bahawa
azab-Ku, adalah azab yang tidak terperi sakitnya, (bagi mereka yang
tetap dalam kederhakaan).
Di suasana Ramadan
ini, semoga taubat mempunyai ruang yang besar dalam hidup kita. Manusia
disuruh takut melakukan dosa. Namun jangan kecewa jika tersilap. Di
samping insan juga hendaklah selalu beringat, bahawa dosa yang
terlampau setelah diberi peringatan, boleh menghilangkan ingatan insan
untuk kembali kepada Tuhan.
Firman Allah dalam
surah al-Baqarah ayat 6-7: (maksudnya) Sesungguhnya orang-orang yang
ingkar itu, sama sahaja kepada mereka: Sama ada engkau beri amaran
kepadanya atau engkau tidak beri amaran, mereka tidak akan beriman.
(Dengan sebab keingkaran mereka), Allah mematerikan atas hati mereka,
pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya; dan
bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar.
- DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis.
E-mel: moasriza@yahoo.com
Layari http://drmaza.com/